Rabu, 18 Januari 2012

Pasukan Kadet Bomba Dan Penyelamat diwujudkan semula

Oleh Azmerul Haji Haris

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin – Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bersama Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan hari ini bekerjasama untuk mewujudkan semula Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat di kalangan pelajar sekolah dan maktab.

Sehubungan itu, Majlis Perasmian Kursus Bagi Guru Pengawas Kadet Bomba dan Penyelamat diadakan hari ini di Pusat Latihan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lambak Kanan.

Pada peringkat permulaan seramai 22 guru dari sekolah menengah Daerah Brunei dan Muara mengikuti kursus berkenaan selama sebulan di pusat berkenaan.

Kursus itu meliputi dua aspek utama iaitu teori dan juga praktikal kebombaan termasuk aspek pengurusan, akta, kebakaran, menyelamat, kawad kebombaan, ikatan tali dan pembersihan kimia.

Yang hadir bagi merasmikan kursus berkenaan ialah Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat, Pengiran Haji Mohd Daud bin Pengiran Haji Mohammad.

Menurutnya, Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat mula ditubuhkan pada 1 Oktober 1979 dengan obkeltifnya untuk menjadikan bidang kebombaan sebagai bidang kerjaya bagi pelajar pada masa akan datang.


Pengiran Haji Mohd Daud menyampaikan ucapan

Tambah beliau lagi, penubuhan semula Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat pada hari ini selain untuk menyebarluaskan pasukan beruniform adalah untuk menanamkan kesedaran awal kepada anak muda mengenai bahaya kebakaran serta langkah pencegahannya.

Bermula pada tahun 1979, terdapat 10 sekolah menengah dan maktab terlibat dalam Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat dengan jumlah 100 ahli bersama 10 orang pengawas sebelum terhenti pada tahun 1982.

Pada masa ini sebanyak lima pasukan beruniform bergiat aktif di kalangan warga sekolah dan juga maktab termasuk Pasukan Kadet Tentera, Pasukan Kadet Polis, Pasukan Pengakap, Pasukan Pandu Puteri dan Pasukan Bulan Sabit Merah.

Penubuhan Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat akan menambahkan lagi bilangan pasukan beruniform di negara ini dan guru pengawas yang mengikuti kursus dan Berjaya menjadi pengawas akan bertanggungjawab untuk menubuhkan serta melatih Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat di kalangan warga sekolah dan maktab.

Antara guru-guru yang menyertai kursus itu.


- Media Permata – Selasa 3 April 2007.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan